Thursday, January 25, 2018

GUGUSAN CAHAYA KESELAMATAN (2)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

SEBUAH PERKONGSIAN

Di malam yang penuh barokah ini, Tok Bah berlapang dada untuk melakukan sebuah perkongsian. Adapun perkongsian ini adalah dari cabang-cabang ilmu.

Tok Bah suka untuk memetik satu peristiwa disaat Laksamana Sunan tiba di bumi Aceh. Wali Sufi memberikan dua pilihan buat Laksamana Sunan

"Mahu belajar agama ataupun bersilat?"

Bagi sahabat yang sememangnya menggemari karya agung Ramlee Awang Murshid. Rasanya telah sempurna kefahaman kalian diatas pilihan Laksamana Sunan. Iaitu memilih untuk mempelajari agama.

Kerana dari agama itu timbulnya laduni. Gerak ilham. Kerana dari pengukuhan agama jugalah terangkat tabir Kota Tauhid dalam jiwa manusia.

Lihatlah dari konteks yang lebih meluas. Jiwa manusia di zaman ini begitu amat dahagakan untuk kembali bertuhan. Namun, ramainya yang memilih jalan singkat (shortcut). Dengan seribu alasan tiadalah kesempatan waktu untuk menadah.

Bagaimana jalan singkat yang mengaburi umat dizaman ini? Di alam maya ini sahaja telah jelas kelihatan. Pengijazahan ilmu yang dikatakan laduni hanya pada post-post di akaun fb. Zikir-zikir yang dianggap 'Sirr' berleluasa. Hingga tidaklah terdakap oleh landasan adat dan adab yang sepatutnya dilerah sebagai seorang penuntut.

Bahkan lebih parah, pengijazahan sesuatu ilmu itu tidak ditapisi oleh 'mursyid kalam'. Tidak ditapis akan kekuatan akal muridnya. Tidak ditapis kekuatan pemahaman muridnya. Yang penting ijazahkan sahaja. Sebab tu zikir dari Allahu menjadi huhuhu. Kenapa jadi huhuhu? Entah, tok guru aku ajar macam tu. Baru cepat mujarab katanya. Huhu..

Bagaimana laduni itu turun tatkala hati masih gelita? Saat al Quran dan al Hadits ditafsirkan hanya menggunakan akal dan sahaya demi kepentingan diri yang dirasakan maksum. Usahlah berbicara lebih mengenai hakikat ketuhanan. Hakikat, tarikat dan makrifat. Andai adab bersyariat masih jauh ketinggalan.

Sedarlah. Syariat yang dipandang lekeh itulah merupakan satu teras dalam menongkat arus tingkatan yang lainnya.

Jatuhnya khalifah Islam di zaman silam bukanlah dikeranakan tentera Islam itu tidak pandai bersilat ataupun tidak tahu seni beladiri. Jatuhnya khalifah itu apabila tunjang teras utama dalam beragama dicongkeh keluar dari dada Muslim.

Datangilah majlis-majlis ilmu yang menyedarkan kita akan kerendahan berdiri sebagai hamba. Dekatilah sanad-sanad yang jelas.

Kata As Syahid Doktor Abdullah Azam :-

"Manusia beragama itu terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama, mereka yang membina jambatan silaturahim melalui ilmunya. Kelompok kedua, mereka yang memutuskan silaturrahim melalui ilmunya."

Maka, renungkanlah. Wallahualam

Tok Bah
9 Jamadil Awwal 1439



No comments:

Post a Comment