Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
PERKONGSIAN
Selaku hamba yang beriman dan menyakini kewujudan Ilahi, maka kita sedia maklum bahawa setiap sesuatu kejadian itu telah termaktub perjalanannya. Tiadalah sia2. Melainkan mempunyai peranan masing2. Sahaya peranan itu berbeza beza. Tiadalah sama.
Setiap sesuatu perihal itu telah dipercaturkan sejak sekian lamanya di Lauh Mahfuz. Tinggal lagi bagi kita untuk mengkaji, merenung, mempelajari, mengalami dan menghisab sendiri aturan tersebut. Apakah sesuai ia untuk diri atau tidak. Demikian itu diletakkan mahkota akal pada manusia. Itulah sebaik baik mahkota yang diciptakan Ilahi.
Dikeranakan berpegang 'tiadalah sia sia diciptakan sesuatu' inilah, maka leluhur zaman berpegang teguh dalam kitaran ilmu mereka. Baik dari ilmu teras, ilmu besi, ilmu bintang atau dalam bahasa mudah difahami. Iaitu ilmu alam. Pemikiran dan pemerhatian mereka dipusatkan sebagai sebuah ilmu untuk direnungkan. Maka, wujudnya kiasan2 indah. Yang adakalanya tidaklah tersauk di akal fikiran.
Adapun ilmu leluhur tua yang sejati semakin hari semakin luput dihakis zaman. Dihukum syirik bagi mereka yang hanya selapis pengajian. Dihukum bodoh bagi yang berpendidikan. Dihukum menyeleweng bagi yang berjubah panjang. Ditokok tambah bagi yang gelap kefahaman.
Si Tua pernah berpesan pesan, kelak di akhir zaman. Yang tua tidak lagi dijadikan ikutan. Nafsu serakah enak disembah sembahkan. Binasa diri kerana kelaku haiwan. Hilang manusiawi kerana hasutan. Tersembam ia dalam berdengki dengkian. Maka, ketahuilah ia itulah manusia berperangai syaitan.
Diatas semua perihal ini wahai sahabat sekalian. Menuntutlah jika tidak ketahuan. Tapisilah siapa kamu berhadapan. Menyempitkan sesuatu ilmu itu jangan. Melebar luaskan itu kebaikan. Menokok tambah tidak bersanad itu kecelakaan. Maka, berhati hatilah kalian.
Tidaklah ini dituju tuju, melainkan pesan jua untuk diri sendiri. Semoga perkongsian ini membuka sedikit minda kita semua. Dan membawa manafaat atas segala rasa. Wallahualam
Tok Bah
27 Rabiul Awwal 1438
No comments:
Post a Comment