Monday, May 18, 2020

CEKATI SIREH


CEKATI SIREH
Umum mengetahui Cekati merupakan sejenis alat mericik pinang dalam kaedah penyediaan kudapan tradisional alam nusantara. Ghalib atas setiap perkara apakala melalui alam Melayu. Akan adalah kiranya olahan atau sentuhan untuk bawaan dalam kehidupan.

Pada pengalaman keturunan diri. Yakni akan nenek dan moyang Tok Bah sendiri yang merupakan bidan langit. Bidan langit bermaksud bidan asalan. Yang tiadalah melalui jalan menuntut. Melainkan ianya merupakan anugerah. Terkait ia akan keberadaan Bidan Tujuh.

Mengikut cerita dari ayahanda Tok Bah sendiri. Iaitu Haji Ariffin Ibrahim. Pernah suatu ketika adanya tamu yang ingin menumpang berteduh di teratak nenek. Namun nenek mengesyaki akan sesuatu pada tamu tersebut. Lantas mengambil Cekatinya dan dalam diam membaca mantera. Serta dikacipkan Cekatinya dalam jarak seada-ada dari tamu. Maka menggelupurlah tamu tersebut. Dan tiadalah diberi tumpang setelahnya. Kerana adanya bawaan bersifat jahat disisinya tamu.

Adapun Cekati dari pengisahan ini hanyalah sekadar Cekati biasa. Bukan dari Cekati Buta mahupun yang tiadalah tertakluk akan kaedah apapun. Melainkan tersambung akannya dari amalan-amalan para bidan langit.

Usulan bidan ini terputus di garisan ayahanda. Dan turunnya kepada cucu-cucu hanyalah pecahan-pecahan ilmunya. Seumpama para kekanda Tok Bah ada yang boleh mengurut tapi tidak boleh berubat. Ada yang boleh berubat tapi tidak boleh melihat sampingan.

Adapun turun padanya Tok Bah sendiri. Dengan izinNya. Sejarah Tok Bah adalah menyambut kelahiran bayi. Hayat ini sudah lima orang kelahiran disambut oleh Tok Bah. Termasuk anak sulung Tok Bah iaitu Nur Muhammad. Disambut sendiri oleh Tok Bah.

Baik. Berbalik kepada pokok. Cekati menjadi asbab pakaian diri pada leluhur Melayu dek kerana Cekati ini merupakan suatu alat wajib setiap orang pada zaman dahulu. Kemana sahaja berCekati. Adapun beradat ziarah sebagai tamu. Tuan rumah akan menyediakan tepak sireh berisi daun sireh, kapur, pinang serta lainnya istiadat layan tamu. Akan tetapi Cekati tiadalah disedia. Melainkan perlulah digunakan milikan masing-masing. Jika tiadalah kiranya. Hendaklah tamu meminta izin untuk menggunakan Cekati milikan tuan rumah pada tiap kali ingin berCekati. Begitulah tingginya nilai hormat budi bangsa Melayu.

Sebanyak mana pinang diricik. Maka itu atas kehendak tuan cekati. Selera sendiri-sendiri dalam bahasa mudahnya.

Dek kerana menjadi bawaan. Maka para leluhur meluahkan kebijaksanaan ilmu alamiah melalui penciptaan Cekati. Olahan buatannya berisi dalam cairan besi. Tukangnya dipilih sebaik tukang. Ada yang sekadar asal bentuk. Ada yang disarikkan sebaik mungkin dengan perhiasan-perhiasan. Sehingga ada yang disalutkan akan perak emasnya. Sebagai tanda dan ketinggian kedudukan dalam masyarakat.

Hinggalah Cekati ini akhirnya menjadi ketakutan bagi sesetengah pengamal ilmu hitam. Terutama bagi pengamal yang pernah merasai dikacip dari jauh. Pedih dan azabnya tiadalah terkira hingga dileraikan akan Cekati dari genggaman.

Sungguh ilmu Melayu ini dipenuhi kemistikan dan kemisterian yang sukar untuk dijangka dan dijangkau. Namun terpahat sedikit kesedihan dihati ini tatkala terlihat setiap dari ilmu turunan ini kian hari kian dilupakan. Wallahualam

Whatsapp : 0189010623

Blog : daricetusanmindaku.blogspot.com









No comments:

Post a Comment