Wednesday, May 20, 2020

BESI PA

BESI PA

Sekian kalinya Besi Pa diketengahkan. Beberapa kali sebelum ini. Simpanan nan satu ini amatlah istimewa buat Tok Bah. Tok Bah gelarkan ia sebagai 'Besi Pa Tiga Pa'. Kenapa?

Asalan ia dari parang panjang. Patah ketika digunakan. Kemudian matanya dibentuk kembali menjadi parang pendek. Pun patah ketika digunakan. Diolah lagi buat kali terakhir menjadi pisau. Pun patah semasa digunakan melapah.

Besinya dari besi rel. Besi kukuh dan utuh. Puting dari pertama hingga terakhir dibuat kukuh. Bukan dibuat nipis agar mudah patah. Namun itulah takdir sekehendak jadi. Inilah satunya simpanan terbaik dalam koleksi peribadi. Adapun Pa yang lain hanyalah bergelar layaknya Pa Tunggal. Pedang, parang, pahat, pahar, pacak mahupun lainnya. Tiadalah berlaku ulangan seperti yang satu ini.

Baik. Besi Pa merupakan besi yang Patah. Bermula pula keadaan sesuatu itu dengan huruf Pa. Seperti yang disebutkan di perenggan atas. Patahlah dikira hisab dari alamiah. Iaitu patah secara semulajadi. Ketika guna. Bukan diketuk bengkok hingga patah.

Adapun Puting Pa itu adalah keutamaan dalam pengiraan pakaian diri. Namun, kesemua dari kejadiannya juga dikira Besi Pa. Salah faham tentang terkejarnya seseorang yang berkehendak akan besi Pa. Mereka hanya memandang yang sedikit hanya. Sedangkan setiap lekukan paluan itu berasbab dayanya akan sandaran pedoman. Tidaklah lari dan tercapailah maksud kiranya. Hanyasahaya yang utama itu dikejar pasti.

Menurut pedoman halnya leluhur silam. Besi Pa menjadi suatu asbab besar dalam kaedah pemakaian diri. Baiklah ia dibentuk permatakan. Mahupun sekadar simpanan bentuk asalan. Disini, Tok Bah memilih bentuk asalan.

Besi Pa terlalu banyak sandaran pedoman jika hendak diketengahkan. Asbab ikhtiar akannya sebagai pematah sihir. Asbab besar dalam memulangkan tuju-tuju. Serta banyak sekali padanya asbab-asbab dalam rawatan mahupun pedoman perjalanan. Sekira hendak ditulis. Khuatir dikata syirik. Maka sekadar adanya agar difahami.

Mengikut pengalaman diri. Besi Pa pernah dibawa bersama pada ketika menziarahi salah seorang sahabat yang sedang terlantar sakit misteri. Peristiwa ini berlaku dua tahun lalu semasa sesi Roadtour Tok Bah di Melaka.

Saat ketika menanggalkan sepatu untuk memasuki rumahnya. Sahabat yang hampir beberapa ketika terlantar ini terus bangun. Bagaikan tercabut segala deritanya selama ini. Dari bicara yang tidak jelas. Mampu berbicara seperti biasa. Melihat keadaan ini. Dijemput seorang sahabat perawat. Besi Pa yang diletakkan diamnya didalam dompet dikeluarkan. Diberi kepada sahabat perawat ini untuk dijadikan sebagai asbab ikhtiar rawatan. Hasilnya amat memuaskan hati. Hingga kini sahabat yang terlantar ini sembuh. Hanya sedikit tinggalan kaki terkecok sedikit. Sebagai tanda kasih ingatan dariNya. Atas kehendakNya memberi sembuh. Melalui asbab Besi Pa.

Demikian akan kerja guna lainnya. Banyaklah ia menjadi denak asbab kejadian. Tiadalah sia-sia akan sesuatu kejadian. Itulah suatu kehebatan dari salah satu ilmu Melayu Tua.

*Perihal penyakit misteri tidak didedahkan bagi menghormati perasaan sahabat terlibat.

*Sahabat perawat diusahakan kerana Tok Bah bukanlah seorang perawat alternatif. Perawat moden sahaja. Medical Assistant. Itupun sudah pencen.

Mengikut turunan kata. Besi Pa sememangnya amat mujarab bagi penyembuhan sakit-sakit luaran dan pendinding diri. Akan tetapi tiadalah mujarabnya seandainya digunapakai untuk tujuan yang tidak elok. Bomohkan orang semisalnya.

Besi Pa merupakan diantara salah satu item yang tidaklah tertakluk sama sekali akan perihal pembuatannya. Asal sahaja Pa dan Patah semulajadi. Maka berolah ia sebagai kelompok Pa yang dimaksudkan. Wallahualam

Whatsapp : 0189010623

Blog : daricetusanmindaku.blogspot.com





No comments:

Post a Comment