Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Minggu lalu Tok Bah telah dihubungi oleh salah seorang sahabat yang bertanya tentang ular. Kemudiannya Tok Bah telah diberikan gambar-gambar milikan sahabat tersebut. Yang sedia dikongsikan di ruangan ini. Dengan izin empunya badan.
Kain Ular Berlaki atau Kain Ular Mengawan. Suatu warisan alam Melayu yang kian dilupakan. Akhir pengisahan Kain Ular Berlaki dari pihak Tok Bah adalah pada tahun 2017.
Baik. Didalam salasilah ilmu tua Melayu, Kain Ular Berlaki merupakan kain yang digunakan bagi menyerkup pasangan ular yang sedang mengawan. Sebagai mengambil hawa akannya, musabab untuk kerezekian, pengasihan, junjungan darjat dan lain-lainnya.
Adalah halnya pada jenis kainnya itu tidaklah tertakluk sama sekali akannya. Ditakdirkan sekadar kain buruk sahajapun, itu telah memadai. Bonus pulalah bagi serkupan kain yang bagus-bagus. Ghalib kejadian tidaklah sempat mencari kain yang bagus-bagus bila berhadapan situasi bertemu ular yang sedang mengawan.
Kenapa ular? Kenapa tidak binatang lain?
Leluhur menyatakan secara jelas akan perkara ini. Ular merupakan salah satu lambang kebesaran bagi orang-orang bangsawan dan ilmuan pada zaman dahulu. Setiap yang mampu menjinakkan melata berbisa ini, maka dia digelar tabib, digelar bomoh, bahkan dianggap sebagai ‘kepala patinggi’ jika mengikut loghat tua Kelantan. Iaitu kepala orang ramai atau ketua.
Melalui bisa ular dijadikan penawar bisa. Melalui sisik ular dijadikan pelepuh (melumpuhkan) sihir. Melalui kulit ular dijadikan ‘siang rindu’ iaitu ilmu pengasihan dan pengikat rindu. Melalui taring ular dijadikan sarung diri. Yakni bawaan ilmu diatas amal. Amal sarung diri taring ular ini telah tidak kelihatan sepuluh tahun terakhir ini. Mungkin telah ditelan usia. Wallahualam
Bagaimana ilmu tua Melayu menjadikan bisa ular sebagai ubat bagi patukan ular? Tok Bah tidak dapat menghuraikan perkara ini kerana tidak mendapat lanjutan kaedahnya. Jika dilihat dari segi Sains moden. Sememangnya bisa ular digunakan sebagai penawar patukan. Melalui kaedah suntikan antivenom. Tidakkah bangsa Melayu telah melangkaui kehebatan Sains pada zaman dahulu? Hebat bukan?
Berbalik kepada Kain Ular Berlaki. Tuntutan leluhur menyatakan asbab padanya. Demikian saat bergelumang ia ular antara jantan dan betina. Telah terkatup akan salur racunnya. Dan meleleh akannya hamis seakan peluh dari sisik-sisik keduanya. Serta mengalir dari keduanya susur peranakan generasi yang sekaligus keluar dari sifat kasih sayang dan keseronokan. Asbab musabab dari inilah dijadikan akannya leluhur sebagai kutipan kejadian alamiah sebagai pegangan.
Adapun kaedah gunanya itu terpecah pelbagai cabang kaedah. Melalui selitan kulit. Melalui bawaan lipatan duit. Melalui selitan pingang. Serta lain-lain kaedahnya. Wallahualam
Gambar kiriman sahabat ini berlaku pada minggu lalu. Lebih menarik dan luarbiasa ialah persenyawaan ini merupakan persenyawaan antara spesis Ular Tedung dan Ular Sawa. Sesuatu yang diluar pemikiran akal.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment