Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Jika dilihat, ia hanyalah sebidang kain lepas biasa. Yang tidaklah ada keistimewaan sama sekali. Namun,tersimpan suatu perihal mengenainya. Suatu tinggalan leluhur terdahulu. Tinggalan warisan ilmu Melayu silam yang kian dilupakan.
Kain lepas ini Tok Bah perolehi dari seorang pemuda dengan maharnya RM600. Harga yang tidak logik di akal bagi sehelai kain lepas. Tok Bah memberikan harga kepada pemuda tersebut kerana Tok Bah telah mengenali beliau dan keluarganya sejak lama dahulu.
Kain lepas ini digunakan oleh arwah bapanya yang bekerja sebagai seorang pengembala lembu. Yang mana selalu dililit pada pinggang atau kepalanya. Yang setiap hari arwah akan menyapunya menggunakan wangian. Perlakuan arwah pernah Tok Bah teguri dan persoalkan, namun hanya dibalas senyuman. Hinggalah pada hari kain lepas ini bertukar milik. Barulah diketahui rahsia disebaliknya.
Inilah ia Kain Ular Berlaki atau Kain Ular Mengawan. Kain yang dilempar serkupkan pada ular yang sedang mengawan.
Kain Ular Berlaki amat besar kerja gunanya dalam perjalanan warisan keMelayuan. Diturunkan bahawa asbab atasnya sebaik-baik pengasih. Sebaik-baik jalan kerezekian. Sebaik-baik darjat kehormatan. Sebaik-baik penjauh dari keburukan.
Halnya ini cerapan asli yang sebenar-benar asli. Berpandu halnya kisah hidup arwah yang tidak pernah memiliki musuh. Dikasih dan dihormati. Tidaklah datang kepayahan, melainkan mudah jalan keluarnya. Meskipun hidup yang tidaklah seberapa, kesempitan tidaklah menjadi halangan.
Jika sahabat sekalian kedapatan di mana-mana Kain Ular Berlaki. Simpanlah sebagai salah satu pakaian diri. Jika terpaksa memaharkannya. Maharkanlah. Molek benarlah kiranya ada walau secopeng hanya.
Adapun milikan Tok Bah ini hanyalah sebagai sebuah perkongsian. Tidak lebih dari itu. Wallahualam
No comments:
Post a Comment