Monday, October 1, 2018

OKTOBER DATANG LAGI

Ada ketika kita cuba melupakan kisah silam yang dialami. Bukan kerana tidak menyukai. Namun, kerana tidak ingin rindu terlalu menguasai. Hingga kerinduan tersebut menjadi batas dalam perjuangan hakiki.

Kehidupan tetap diterusi. Didalam lingkungan syariat yang membatasi. Tarikat pada aturan Ilahi. Hakikat dalam mencapai maknawi. Fana dalam makrifat yang melangkaui.

Kasih sayang tetap dijalani. Kerinduan tetap ditangisi. Peristiwa silam tetap dikenangi. Sebagai pegangan dalam perjalanan yang menanti.

1 Oktober berulang lagi. Sebelas tahun tanpamu disisi. Moga Tuhan mengerti. Batasan keperitan yang ditanggung diri. Menanti hari yang dijanji. Pertemuan semula disisi Ilahi. Terlihat lambaianmu dari syurgawi. Disaat dosa masih mengelaburi. Syafaat Rasulullah saw tetap dinanti. Moga Tuhan mengerti. Sekali lagi, semoga Tuhan mengerti.

*Al Fatihah buat Bonda tercinta. Menghembuskan nafas terakhir pada 01/10/2007 jam 1700. Semoga perpisahan di dunia ini menjadi titik mulanya penyatuan kita semua di akhirat kelak. Insyaallah



No comments:

Post a Comment