Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
ILMU merupakan suatu tuntutan ibadah. Tuntutan ilmu wajib atasnya manusia yang berakal. Tiada jalan pintas dalam meniti titian ilmu. Diulangi. TIADA JALAN PINTAS DALAM MENITI TITIAN ILMU.
Keberadaan titian berilmu itu enam perkara.
BERAKAL. Wajib atas manusia yang berakal untuk menuntut ilmu. Tiadalah wajib atasnya orang yang tidaklah sempurna akal sihatnya.
BERSUNGGUH-SUNGGUH. Tiada adanya main-main di hati. Lurusnya niat, pendeknya angan-angan dan panjangnya perancangan. Tiadalah adanya ilmu itu datang bergolek. Tiada ilmu yang datang tanpa usaha.
RAJIN. Wajib rajin si penuntut. Tiadanya sifat bermalasan dan berlengah-lengah. Tidaklah mencuri masa dengan sia-sia.
BESARNYA PERBELANJAAN. Banyaknya harta dihabiskan untuk ilmu. Keringnya keringat dalam mencari ilmu. Hingga keberadaan ini menjadi penghalang besar bagi mereka yang suka bermalasan dan bagi mereka yang tidak bersungguh serta bagi mereka yang cetek akalnya. Hingga perbelanjaan di jalan ilmu itu menjadi sia-sia.
NASIHAT GURU. Maka inilah peranan terbesar dalam adab menuntut ilmu. Yakni nasihat guru. Tidaklah menyanggah penuntut pada gurunya. Mustahil ada dan wajib ada atas setiap titisan ilmu yakni khilaf pendapat. Nasihat guru inilah pelita utama dalam perjalanan menuntut.
PANJANGNYA MASA. Inilah suatu perihal terpenting. Yakni ia masa dalam menuntut. Hingga adanya yang mati sebelum sampai ke noktah penghujung ilmu. Terputusnya roh dari jasad merupakan pengakhiran syahadah. Merugilah mereka yang bermain-main.
Tidaklah ada jalan pintas dalam menuntut. Melainkan para majdzub yang dipilih olehNya. Para madjzub ini tidaklah dizahirkan kebijaksanaan mereka. Melainkan bersembunyi mereka dari keramaian manusia. Dan tidaklah ada diantara mereka MENGAKUI bahawa mereka ini pilihan Tuhan. Melainkan orang-orang yang dibenarkan olehNya untuk mengenali mereka.
Demikian sedikit pecahan cabang adab dalam menuntut ilmu. Hukama' berkias :-
"Adapun ilmu itu terputus diantara dua celah kelangkang perempuan."
Maka, bagi mereka yang tidak beradab perihal ilmu. Tiadalah datang pertolongan atasnya. Melainkan ilmu yang dituntut hanyalah sia-sia. Seumpama ia beribadat tanpa ilmu. Maka, ibadat itu ditolak. Tidak diterima.
Tok Bah secara terbuka mencerca mereka-mereka yang kononnya mengijazahkan ilmu peringkat tertinggi, pengijazahan ilmu ghaib, pengijazahan ilmu itu ilmu ini di alam maya ini. Kononnya merekalah pembawa ladunni sejati. Kalian tidaklah ubah seperti haiwan kelaparan. Malahan lebih dari itu. Betapa jijiknya perilaku yang menyalahi adab ini.
Lebih teruk ada yang mendakwa mereka diajar terus secara yaqazah oleh Rasulullah saw. Celakalah orang yang mempermainkan nama Baginda saw.
Terlebih baiknya mencium kepala babi dari mengikuti telunjuk si jahil yang bertopengkan agama.
Pembawa obor kejahilan akan diikuti oleh mereka yang jahil. Maka, gunakanlah akal sebaiknya dalam menilai.
Semoga kita semua terlindung dan terhindar dari segala kekotoran dan kejahilan. Wallahualam
*Gambar Sekadar Hiasan
Tok Bah
7 JamadilAwwal 1438
No comments:
Post a Comment