Monday, September 29, 2025

ILMU NAFAS MELAYU

Pemahaman Ilmu Nafas Melayu

Orang Melayu dahulukala melihat nafas sebagai suatu rahsia. Tanpa nafas, tiada tenaga, tiada gerak dan tiada nyawa. 

Maka para hukama membahagikan peringkat-peringkat dalam kaedah ilmu pernafasan.

IBADAH
Tiap bait doa, zikir, bahkan solat itu sendiri dituntut supaya hadir bersama kawalan nafas. Nafas wakaf. Nafas sabdu. Nafas dengung. 

PERSILATAN
Nafas menjadi kekuatan pukulan, ketahanan tubuh dan kelincahan gerak. Nafas pengeras kulit. Nafas pemberat pukulan. Nafas menahan serangan.

PERUBATAN
Antara yang umum mengetahui adalah nafas yang disertai doa menjadi medium bagi meguatkan tempaan rawatan kepada pesakit.


Adapun pula Jenis-Jenis Amalan Nafas

NAFAS ROHANI
Nafas digunakan untuk menghidupkan hati dengan zikrullah.

Menarik nafas perlahan sambil menyebut “Allah” dalam hati. Membayangkan kalimah suci tersebut menyucikan tubuh zahir dan batin. Dihayati makna keagunganNya, kemudian menghembus perlahan sambil menyebut “Hu”. Dengan niat dikeluarkan segala kotoran dalaman diri dari tubuh zahir dan batin.

Amalan ini menenangkan hati, menghalau was-was, dan mendekatkan diri kepada Allah.

NAFAS BADANIUN
Nafas Badaniun atau Nafas Jasmani menjadi asas ilmu tahan pukul, tenaga dalam dan kelincahan.

Berdiri dengan sempurna (siaga) dan tariklah nafas sekeras mungkin dan menahannya di bahagian perut (pusat), kemudian melepaskan nafas ketika membuat serangan. Pukulan menjadi lebih padu dan berisi.

Demikian juga kaedah "menyimpan nafas" untuk meningkatkan daya tahan tubuh, contohnya tahan dipukul atau berjalan jauh tanpa penat.

NAFAS AURA (PERUBATAN)

Biasanya nafas aura ini halus sedutannya. Panjang masa tarikannya. Dan lama daya tahannya. Namun, sekilat petir pulalah hembusannya.

Simpulan keyakinannya adalah hembusan nafas itu membawa doa dan ikhtiar perubatan.

Amalan Asas Ilmu Nafas Melayu

Amalan Tenang Jiwa (Zikir Nafas)

Duduklah dalam kedudukan Bunga Teratai. Tenang. Pejamkan mata.

Tarik nafas perlahan-lahan sambil menyebut

لاَ إِلَ 

'Tiada Tuhan' dan tahan akan ia nafas sebentar. Hayati benar benar kalimah demi kalimah. Hembus perlahan. 

Peringkat ini dinafikan akan segala wujud.

Kemudian tarik kembali nafas perlahan sambil menyebut
 هَ إِلَّاالله
'Melainkan Allah'. Maka disaat ini pula adalah pengisian rohani yang sebesar-besarnya. Bayangkan kalimah 'الله' mengalir didalam tubuh. Menyucikan salur-salir darah, hati, jantung dan segala batin diri. Sinarilah dalaman jiwa dengan kalimah Agung ini. Hembus perlahan. Bayangkan kalimah ini mengeluarkan segala kotoran batin dari jasad kita. 

Ulangilah sehingga perut merasa ketat dan mampat. Apakala telah ketat dan mampat akan ia. Maka disaat itu diri akan merasai suatu kekuatan dalaman yang belum pernah dirasai.

Kesimpulannya, Ilmu Nafas Melayu adalah warisan turun-temurun yang memenuhi kehendak tenaga, jiwa, dan doa. 

Demikianlah kebijaksanaan nenek moyang kita dalam menyusun kaedah. Yang bukan hanya sesuai dizaman mereka sahaja. Bahkan sangat-sangat berguna dizaman yang penuh tekanan dan cabaran sepertimana hari ini.

No comments:

Post a Comment