Saturday, February 18, 2023

GOBEK BUTA

 أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ


بسم الله الرحمن الرحيم



مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ

وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ


GOBEK 


Pertama ingin dinyatakan, perkongsian ini mungkin agak panjang dari kebiasaan. Maka silakan skip bagi yang tidak berminat dengan resam bacaan. Padanya perkongsian ini sempena meraikan keagungan tarikh keramat Israk Mikraj ini. Setelah direnungkan lintasan bintang-bintang agar sejajarlah peraturan alam ini bagi sekehendak besarnya aturan.


Mudahan atasnya keberkatan tarikh agung ini menjadi asbab berkatnya tiap langkah luhuran dan lunyuran perjalanan hidup kita dan tercapailah segala hajat hati dan maksud terhadap kehidupan yang sebenarnya. Insyaallah


Apakala disebut Gobek itu makanya adalah dua perihal yang akan muncul dalam denak fikiran kita. Pertama Gobek Sireh dan keduanya Gobek Api. Maka perkongsian di kali ini adalah berkenaan halnya Gobek Sireh. Suatu alat untuk menumbuk sireh pinang sehingga lumat sebelum dimakan. 


Pada kebiasaan Gobek Sireh terutama di Tanah Melayu Pantai Timur, Gobek Sireh diperbuat dari tembaga dan gobek itu pada tempaannya berlubang pada bahagian bawahnya yang kemudian diselitkan pancangan kayu yang membentuk lubang Gobek bagi menahan tumbukan melumatkan sireh pinang. Setelah lumatnya sireh pinang maka digunalah batang pasungan bagi mengeluarkan pancangan melalui bawah Gobek. Ianya memudahkan sireh pinang yang digobek dikeluarkan sepenuhnya.


GOBEK BUTA


Maka ini tajuk yang hendak diketengah. Akan bahawa ia ketinggian akal leluhur zaman dalam mengaitkan setiap perkara dalam kehidupan akan pula kegunaan harian itu menjadilah ia suatu pakaian diri yang berhikmat dan berhikmah untuk mereka yang diberi rezeki faham. 


Gobek Buta merupakan Gobek Sireh yang tidaklah bermata lubang sama sekali. Tempaan akannya akan segala lantunan isian, baiklah terhadap isian dalaman mahupun akan halnya perkaitan bangkitan batin dan zahirnya ia. Maka terkamil kacuhlah akan pegangan agama dan perkaitan ilmunya bangsa.


Terukirlah di sepasang Gobek Buta ini yang satunya akan kalimah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله dan satunya kalimah محمد رسول الله. Tidaklah dua kalimah ini bercerai tanggal dari awal kejadian hinggalah binasa segala isi alam. 


Mengikut generasi ketiga Gobek Buta ini sebelum berpindah milik kepada Tok Bah. Dipergunalah tiap satunya bagi pasangan. Yakni satu untuk suami dan satu untuk isteri. Adapun akan sesiapa yang hendak dibawa berjalan atau bermusafir itu atasnya yang terukir kalimah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله serta ditinggallah bagi yang terukir محمد رسول الله. Dengan ilmu amalnya tika hendak melangkah itu akan doa ini 


"La ila ha ilallah aku bawa bersamaku, berdiriku, dudukku, langkahku dan segenap nafasku. Muhammad Rasulullah aku tinggalkan disisi perbendaharaan kekuasaanMu. Tidaklah musnah dan tidaklah binasa hingga apa yang ditinggal kembali bersatu."


Teramatlah mustahil dua kalimah suci ini terpisah akan makna zahir dan batinnya. Maka demikian itulah pula tidaklah akan berpisah baginya orang yang menanggung walau sejauh mana jarak itu akan tetap kembali pada pasangannya.


Telah mujarab pada tiga generasi sebelumnya. Sebagai sandaran untuk direnungi. Pedoman untuk hati. Bahawa inilah diantara ilmunya generasi terdahulu memelihara hayatan cinta mereka. Cinta hati dunia yang dipalut dengan cinta agung keTuhanan melalui pemahaman yang sukar ditafsiri bagi mereka yang hanya menyelami satu lapisan juzuk pemahaman ilmu. 


Terbutalah mata kejahatan dalam musafir perjalanan. Terbutalah mata kejahatan terhadap apa yang ditinggalkan. Terbutalah hati dari kegelapan. Terbutalah hati dari bisiknya kemaksiatan. Maka selamatlah segalanya hingga pengakhiran.



اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ


Whatsapp : 0189010623



















No comments:

Post a Comment